Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) akan menyambut ulang tahunnya yang ke-60 pada bulan September 2019. INTAN telah bermula pada September 1959 di Batu 8, Port Dickson sebagai Pusat Latihan Kakitangan atau Staff Training Centre. Sambutan Jubli Emas penubuhan INTAN telah diraikan pada tahun 2009 dan sempena ulang tahun tersebut, INTAN telah menerbitkan coffee table book bertajuk ‘Lembaran Gemilang INTAN’. 

 

Bertepatan dengan perayaan bagi memperingati ulang tahun ke-60, iaitu Jubli Intan, INTAN  akan menganjurkan Minggu Sambutan INTAN 60 Tahun pada 3 hingga 5 September 2019 bertempat di INTAN Bukit Kiara. Sambutan INTAN 60 Tahun ini diadakan bagi memperlihatkan sumbangan INTAN dalam menjayakan misi untuk membangunkan modal insan sektor awam yang kompeten melalui pembelajaran berkualiti.

 

Pelbagai program dan aktiviti akan diadakan sempena Sambutan INTAN 60 Tahun seperti INTAN Ministerial Lecture Series Bersama-sama Dengan YB Puan Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC); Research Colloquium; Pertandingan Gegar Pidato Piala KPPA, pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta; dan lain-lain program lagi.